Bangunan Muzium Setem Melaka; Kayu & Warna

 



Kerja-kerja pembaikan bangunan, pengenalpastian dan perekodan menyeluruh terhadap kecacatan bangunan adalah penting dalam menentukan kaedah dan teknik pemuliharaan yang sesuai digunakan. Dalam amalan pemuliharaan sesebuah bangunan, adalah penting untuk memahami keadaan kecacatan, menentukan punca kerosakan bangunan dan sebagainya. Kemudian, ini akan dilanjutkan pula pada kajian kecacatan bangunan yang mana akan mengenal pasti tahap kerosakan bangunan.

Sebagai info, selalunya bangunan warisan di negara kita banyak berhadapan dengan masalah serangan anai-anai pada struktur kayu, serangan garam atau penghabluran, masalah kelembapan pada dinding, pertumbuhan lumut juga pokok tumpang dan lain-lain. 

Bagi bangunan Muzium Setem Melaka, penilaian terhadap keadaan struktur dinding dan komponen-komponen pembahagi ruangnya telah dibiuat secara komprehensif. Setiap komponen pembahagi ruang dan lekapan untuk pameran di kesemua ruang pameran (tingkat atas dan bawah) telah ditanggalkan secara berhati-hati dan dibawa keluar bagi memudahkan proses selanjutnya dibuat. 

Pemeriksaan jenis kayu terdapat pada bangunan dilakukan oleh penggred kayu bertauliah. Sebarang penggantian kayu baru adalah daripada jenis sama supaya ia tampil serupa sebagaimana asal. Ini adalah penting bagi menilai tahap kerosakan kayu seperti rekahan atau pereputan yang disebabkan oleh kelembapan, kulat dan anai-anai. Untuk info, ketahanan kayu boleh berubah mengikut perbezaan cuaca dan sinaran matahari berterusan boleh menjejaskan kayu dan kemasannya. 

Bagi menentukan warna asal pada sesebuah bangunan warisan sebelum ia dipulihara bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Selain daripada perlu membuat kajian arkib dan mencari fakta berdasarkan tulisan dan gambar-gambar terdahulu, satu kajian secara fizikal dan visual perlu dilakukan. Ini amat penting kerana ia dapat mengembalikan warna cat asal disamping untuk merekod lapisan dan warna cat yang pernah digunakan. Segala kecacatan yang terjadi dapat dikenal pasti dan dipulihara terlebih dahulu sebelum sebarang sapuan cat baharu dibuat untuk menjadikan subjek tampil cantik dan kemas.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pasukan konservator di tapak projek terdapat sehingga empat lapisan cat warna telah digunakan sebelum ini. Seperti contoh, permukan dinding bahagian dalam di aras atas (ruang pameran satu) pernah dicat dengan warna hijau, putih dan krim. Dinding di ruang pameran dua pula pernah menggunakan cat warna hijau dan putih. Manakala, cat warna merah dan putih sebagai penyudah kemasan dinding ruang pameran empat.

Turut diberi perhatian adalah pada bahagian dinding batu asal, tangga dan lantai kayu bagi mengenal pasti warna cat asal kemasan tersebut. Proses ini dilaksanakan dengan mengaplikasi kaedah mengikis atau menggosok permukaan lapisan cat tersebut perlahan-lahan samada menggunakan kertas pasir bersesuaian atau pengikis rata. Kemudian, satu lapisan cat primer berserta dua lapisan finish coat-emulsion daripada jenama yang telah diluluskan disapu pada keseluruhan permukaan dinding atau tiang yang berlepa. 


Ulasan

Catatan Popular