Konservasi Bangunan Muzium Setem Melaka
Gambaran dari udara yang menunjukkan keadaan dan kedudukan bangunan Muzium Setem Melaka yang sudah pun berusia lebih daripada 100 tahun.
Alhamdulillah. Projek konservasi, baik pulih dan restorasi struktur bangunan Muzium Setem Melaka berjaya disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Projek ini telah dimulakan secara rasmi pada 11 Januari 2021 dan siap keseluruhannya pada 30 Disember 2022.
Projek ini adalah selari bagi mengekalkan status Melaka sebagai salah sebuah bandaraya bersejarah di Malaysia. Kerja- kerja pengindahan dan pengekalan bangunan ikonik era penjajah di Bandaraya Melaka akan terus dilaksanakan secara konsisten.
Struktur fasad-fasad lama yang signifikan pada sejarahnya turut diberi perhatian sama agar ianya terpelihara dan paling penting adalah untuk mengelakkannya daripada musnah. Dengan berbuat demikian, khazanah berharga yang pernah mendapat julukan nama ‘Emporium of the East’ ini dapat dinikmati, diwarisi dan seterusnya menjadi kebanggaan para pencinta sejarah tempatan serta luar negara. Bergaya dengan gabungan seni bina Belanda dan Cina ia memiliki pesonanya tersendiri.
Memilih bangunan ini untuk menjalani proses pulihara, baik pulih dan restorasi dilihat sebagai satu keputusan tepat. Setiap aspek sama ada daripada sudut seni bina mahupun tata letak dalam landskap dilihat begitu cemerlang kerana memiliki ketinggian nilai sejarah, seni dan tidak ketinggalan sains. Menyambung aspirasi projek, kerja-kerja baik pulih yang dilaksanakan dibuat berpandukan pada prinsip, konsep, falsafah dan etika kerja-kerja pemuliharaan standard. Adalah satu pencapaian bermakna apabila usaha menjelmakan kembali sedikit suasana dan rupa bangunan era penjajah sebagaimana zaman kegemilangannya dahulu berjaya dicapai.
Ini bertepatan pula dengan salah satu daripada enam matlamat baharu kerajaan negeri yang telah digariskan iaitu memelihara dan memulihara warisan budaya. Sejajar dengan pengisytiharannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008, bukan hanya bangunan ini tetapi juga lokasi-lokasi bersejarah yang terdapat di sini perlu sentiasa dipulihara dan dibaik pulih. Seharusnya ia dilaksanakan menggunakan kaedah dan penyelesaian yang telah dinyatakan tadi bagi memastikan keberhasilan projek.
Ulasan
Catat Ulasan