Menara Jam Tan Beng Swee, Melaka
Berdiri megah dengan ketinggian kira-kira 50 kaki, menara jam material batu bata ini memiliki gaya atau perincian sama pada setiap sisinya. Jika diperhatikan, terdapat tiga bahagian utama pada binaan ini iaitu bahagian bawah, tengah dan atas yang mana setiap bahagian ini dilengkapi dengan penggunaan tubir horizontal mengelilinginya.
Apa yang menarik, seni bina binaan warisan ini dikatakan mempunyai elemen gaya Eklektik Selat Awal (1890an - 1910an) dengan pengaruh senibina Cina dan Eropah yang mana biasa dilihat pada bangunan-bangunan rumah kedai sezaman dengannya. Ini dapat diperhatikan pada tingkap berukuran penuh (full length shuttered window) yang seimbang lengkap dengan lengkungan pada bahagian atasnya.
Pada bahagian bawah, terdapat sebuah pintu kayu bukaan kembar siap berbingkai berukuran kira-kira 8 kaki 7 inci dan lebar 4 kaki 2 inci yang menandakan bahagian hadapan. Jika diperhatikan, laluan masuk ke dalam binaan ini direka betul-betul tepat pada bahagian tengah.
Kemudiannya, ia diperkemaskan dengan sisip angin dan pada bahagian atasnya pula sengaja dibuat melengkung. Lengkungan ini kemudiannya dipersembahkan dengan tubir berbentuk separa bulat .
Pada tiga bahagian lain ianya turut disempurnakan dengan perincian sama tetapi digantikan dengan jendela kayu dua daun berbingkai saiz penuh lengkap dengan sisip angin. Kesinambungan rekaan ini terus diabadikan pada bahagian tengah binaan yang mana menyaksikan terdapatnya dua jendela pada setiap sisi.
Pada bahagian atasnya pula terdapat elemen seni hias yang sengaja dibuat terkeluar sedikit daripada permukaan dinding. Ianya berbentuk segi empat. Pada bahagian atasnya turut mempunyai lengkungan. Binaan menara jam ini disudahkan dengan kemasan bumbung 15 kaki 2 inci yang disangga dengan struktur kayu.
Dilihat secara keseluruhan, kedudukan elemen-elemen yang ditampilkan pada binaan ini adalah seimbang dan mempunyai nilai reka bentuk baik walaupun serba sederhana.
Ulasan
Catat Ulasan