Rumah Kedai Antik Jalan Laksamana

 

Sebahagian daripada unit-unit di tapak projek ini adalah milik penuh Pejabat Ketua Menteri Melaka dan juga dimiliki oleh orang perseorangan. Satu nilai tambah sangat menguntungkan apabila lokasinya dinyatakan terletak dalam Zon Komersial sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan MPMBB 2003-2015. Untuk pengetahuan, reka bentuk bangunan sedia ada di tapak projek pemuliharaan ini adalah terdiri daripada unit-unit rumah kedai dua tingkat. 

Semua telah maklum bahawa bangunan bersejarah yang terlibat dalam kerja-kerja memulihara, membaik pulih dan restorasi ini dahulunya dijadikan sebagai unit kediaman sejak sekian lama. Semasa pemerhatian dilakukan, masih lagi terdapat barangan kelengkapan rumah dan perabot-perabot usang di sini yang mana perlu dialihkan terlebih dahulu. 

Bangunan ini telah melalui pelbagai fasa perubahan daripada segi hak milik, fasad bangunan dan susun atur ruang dalamannya yang mana mengikut citarasa pemilik itu sendiri. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa terdapat banyak perbezaan boleh dilihat pada unit-unit ini. Setiap unit di sini dihiasi dengan kepingan-kepingan jubin ornamental berbeza corak serta warna. Begitu juga dengan reka bentuk tingkap dan pintunya. Perbezaan ketara lain yang terdapat di unit-unit ini juga boleh diperhatikan pada penggunaan kaedah tanggam dan bahan pembuatan. 







Menyentuh perihal kerosakan, setiap unit tidak sama tahap atau peratusan kemusnahan yang dialami. Secara keseluruhan, komponen utama yang banyak mengalami kerosakan adalah pada bahagian bumbung dan dindingnya kerana terdedah pada risiko cuaca dan anai-anai. Kayu kasau yang terdapat pada bangunan ini juga didapati telah mereput. Malah, bahagian pasak hadapannya turut rosak kerana menerima ancaman impak daripada trafik dari tahun ke tahun. 


Ulasan

Catatan Popular