Selenggara Jam Lama, Merakam Masa Melakar Warisan
Kerja-kerja penyelenggaraan muka jam perlu dilakukan secara berhati-hati khususnya pada bahagian rumit seperti angka dan jarum jam.
Menara Jam Tan Beng Swee yang megah berdiri selama 136 tahun berhampiran bangunan Stadthuys, di Banda Hilir ini terus menjadi kebanggaan warga Malaysia. Dalam masa sama terus gah menjadi mercu tanda popular di Negeri Hang Tuah sekaligus berfungsi lokasi pelancongan utama sejak zaman berzaman.
Menara jam ini dibina pada tahun 1886 iaitu kira-kira 61 tahun selepas penyerahan wilayah Melaka daripada Belanda kepada British. Jarak usianya begitu jauh berbeza daripada bangunan pentadbiran penjajah Belanda, Stadthuys yang telah pun dibina pada 1650. Pembinaannya disimpulkan sebagai satu tindakan bijak sebagai rujukan masa memandangkan tidak ramai memiliki jam poket mahupun jam tangan waktu itu.
Setiap muka jam bentuk bulat yang terdapat pada menara jam ini mempunyai diameter 34.5 sentimeter dan dihiasi dengan angka-angka roman. Dahulunya jam ini turut dilengkapi dengan sebuah loceng tembaga (brass) yang mana kini ada dipamerkan di Muzium Melaka. Ia adalah keluaran syarikat pembuat cermin jam dan jam terkemuka iaitu J. Smith & Sons (Clerkenwell) Limited (The Smith Group of Companies), England. Diasaskan seawal 1780, syarikat ini kemudiannya telah menghentikan operasi penghasilan jam pada 1938.
Pada 1982, Seiko International telah bermurah hati untuk membaik pulih jam tersebut sebagai tanda muhibah antara Jepun dan Malaysia. Namun yang demikian, hal ini telah mencetuskan rasa marah di kalangan penduduk warga senior di sekitar Melaka waktu itu. Ini adalah kerana mereka terkenangkan keperitan hidup yang dialami pada zaman penjajahan Jepun.
Jam ini digerakkan dengan kuasa elektrik 24 volt dan turut dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) bagi mendapatkan waktu masa tepat. Selain daripada itu, ia turut mempunyai sistem bunyi burung pemangsa (passive infrared sensor) yang beroperasi setiap 45 saat sebelum berhenti untuk tempoh selama 60 saat. Ini adalah bertujuan untuk menghalang burung liar seperti gagak dan merpati hinggap, membuat sarang dan membuang najis di sekitar menara.
Ulasan
Catat Ulasan