TOP 3 PENEMUAN MENARIK PADA BANGUNAN ORANG KAYA KUALA LUMPUR
Saya ingin membawa perhatian anda sekali lagi pada bangunan Lot 10, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur. Pada asalnya bangunan ini adalah sebuah rumah agam yang dimiliki oleh Orang Kaya Kuala Lumpur, Loke Chow Kit. Ia dibina pada tahun 1907 oleh seorang Arkitek berbangsa Anglo-Indian iaitu A.K Musdeen. Kemudiannya bangunan ini telah dikomersialkan dengan pembukaan Hotel Empire (1909-1919) dan seterusnya Hotel Peninsular (1919-1973).
Untuk pengetahuan, terdapat beberapa penemuan awal pada bangunan di atas Lot 10 hasil daripada kajian dilapidasi ketika kerja-kerja pemuliharaan sedang berjalan. Penemuan awal ini adalah penting sebagai rekod bagi proses menentukan skop kerja bagi meminimumkan gangguan pada bangunan semasa proses konservasi berjalan. Selain itu, peringkat ini dapat memberi interpretasi atau gambaran awal tentang keadaan dan fungsi sebenar bangunan ini pada masa dahulu.
Tangga Kayu. Ia adalah salah satu penemuan menarik kerana memberikan kesempurnaan pada ruang dalaman bangunan. Sekaligus mewujudkan ruang dalaman berbentuk simetrikal dengan dua buah tangga kayu di kiri dan kanan bahagian tengah bangunan. Kesan binaan tangga kayu asal ini dijumpai semasa kerja-kerja mengikis lapisan cat dinding yang mana garisan penandaan pembinaan asal masih kekal pada bahagian dinding tersebut dan turut digunakan semula sebagai ukuran bagi pembinaan tangga kayu yang baharu.
Selain daripada itu, penemuan tulisan “EMPIRE HOTEL” pada fasad hadapan ini menguatkan lagi bukti dan fakta sejarah yang berlaku pada bangunan ini sebagaimana yang tertulis di arkib dan laman sesawang. Tulisan huruf besar dan bercat hitam “EMPIRE HOTEL” dijumpai semasa kerja-kerja mengikis lapisan cat dinding sedia ada. Menariknya, ia masih berada berkeadaan baik selepas beberapa kali melalui proses pertukaran pemilik dan perubahan zaman.
Struktur binaan di bahagian belakang bangunan seperti sebuah tembok menegak telah dikenal pasti sebagai cerobong dapur. Ia telah dijumpai semasa kerja-kerja mengikis dinding bahagian luar bangunan dan dipenuhi dengan tumbuhan tumpang seperti spesies pakis dan pokok renek. Memandangkan terdapat bahagian struktur yang telah pecah dan dilitupi alga, kerja-kerja membaik pulih melibatkan kerja membersih, membina dan mengecat semula. Bahagian yang rosak dibuang dan diganti dengan bahan binaan yang baru yang hampir sama dengan bahan asal.
Ulasan
Catat Ulasan