ANAI-ANAI SERANG MUZIUM SETEM MELAKA?



Selalunya bangunan warisan di negara kita sering berhadapan dengan masalah serangan anai-anai pada struktur kayunya. Ini tidak terkecuali pada struktur kayu yang terdapat pada Muzium Setem Melaka. Oleh yang demikian, konservator dan pihak yang pakar dalam perkara ini telah menjalankan pemeriksaan terhadap kesemua struktur kayu yang bermasalah. Ini adalah penting bagi menilai tahap kerosakan kayu seperti rekahan atau pereputan yang disebabkan anai-anai. 

Serangan anai-anai pada bahan kayu biasanya berlaku pada material kayu lembap. Biasanya ini boleh dilihat pada kaki kasau, papan rasuk dan rangka atap, pintu atau mana-mana bahan kayu yang dibina serta disambung pada dinding bangunan yang lembap. Mengikut pemerhatian, serangan anai-anai pada binaan bangunan muzium ini adalah sangat membimbangkan. Oleh yang demikian, pihak kawalan serangga perosak yang dilantik telah menggunakan kaedah semburan setempat bagi mengatasi permasalahan ini. Mana-mana bahagian yang perlu ditukar seprti jenang pintu dan tingkap yang mereput telah pun diganti. 



Terdapat dua jenis bahan kimia yang biasa digunakan iaitu jenis menghalau dan jenis tidak menghalau anai-anai. Bahan kimia jenis menghalau anai-anai dapat menghalang anai-anai mendekati tanah atau struktur bangunan yang telah diselaputi bahan kimia. Jika anai-anai terkena bahan kimia jenis menghalau ini, ia akan segera mati oleh bahan toksik yang ada pada bahan kimia tersebut. Alhamdulillah proses kawalan serangan anai-anai ini berjaya dibuat sebaik mungkin dan semoga struktur kayu ini akan dapat bertahan dalam satu jangka masa panjang.

Ulasan

Catatan Popular