KESEDARAN SEJARAH MENERUSI BANGUNAN WARISAN
Bila berbicara tentang perihal konservasi, banyak aspek yang perlu dibincangkan seperti memelihara, memulihara, mengekal dan menyelenggara. Konservasi bukanlah suatu aspek yang mudah dan boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan bangunan atau binaan memiliki nilai sejarah tersendiri.
Bangunan atau monumen bersejarah selain daripada kisah tokoh sejarah baik politik, ekonomi dan sosial disifatkan antara elemen penting dalam pembentukan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat terutama generasi muda.
Sejarah Malaysia membuktikan bahawa permulaan usaha pemuliharaan bangunan-bangunan warisan di negara kita agak lambat dan jauh ketinggalan. Namun, rakyat Malaysia bernasib baik kerana ada di kalangan kita termasuklah pihak kerajaan yang prihatin, sensitif dan memiliki rasa tanggung jawab tentang usaha konservasi bangunan-bangunan bersejarah negara.
Anak-anak muda pula perlu harus dan terus didedahkan tentang kepentingan sejarah menerusi pendidikan. Ini perlu terus dipupuk dan disemai tanpa ada rasa untuk mudah mengalah. Saya percaya ini akan membantu segala usaha konservasi yang dibuat oleh ramai pihak sebelum ini berkesan dan bermakna.
Diharapkan, akan lahir lebih banyak golongan profesional yang tidak berkepentingan dan kemudiannya bergabung tenaga dalam meneruskan usaha konservasi; mencipta idea reka bentuk yang lebih sensitif. Mungkin satu kombinasi padu sosial, sejarah, falsafah, teknikal dan proses perundangan tertentu mampu dihasilkan dalam usaha merealisasikan impian ini.
Ulasan
Catat Ulasan