KONSERVASI BANGUNAN WARISAN BUKAN ONE-OFF


Boleh dikatakan usaha konservasi di negara kita bermula setelah pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah dan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2008. Ini berikutan pengisytiharan Taman Negara Kinabalu dan Taman Negara Mulu (2000) serta Warisan Arkeologi Lembah Lenggong pada 2012. 

Perkara ini telah membuktikan bahawa aspek konservasi di Malaysia semakin mendapat tempat di kalangan  masyarakat. Usaha memulihara bangunan warisan ini perlu disebarkan melalui beberapa pendekatan yang menyeluruh di pelbagai peringkat; bermula daripada pendidikan awal sehingga ke golongan profesional. 

Tambahan pula, konservasi bangunan adalah gabungan pelbagai disiplin yang boleh dipraktikkan oleh ramai golongan profesional berkaitan. Penyatuan pelbagai tenaga pakar ini diharap dapat mewujudkan satu senario pembangunan mantap setaraf dengan perkembangannya di luar negara yang mengakui usaha konservasi adalah satu aspek penting dalam pembangunan sesebuah negara. 

Untuk pengetahuan semua, semua aktiviti pemuliharaan bangunan bersejarah merupakan satu tindakan yang mengganggu kestabilan bangunan sama ada daripada segi struktur ataupun rupa asal bangunan. Walau bagaimanapun, gangguan ke atas bangunan adalah perlu bagi tujuan pemeriksaan dan penyiasatan keadaan bangunan asal dari segi bahan binaan dan kaedah binaan.


Penyiasatan yang dijalankan adalah berpandukan pada ‘standard of profesional’ dan etika kerja yang memenuhi prinsip dan garis panduan pemuliharaan oleh Jabatan Warisan Negara. Malahan ia juga merujuk kepada keperluan Akta Warisan 2005 dan prosedur yang terdapat dalam piagam antarabangsa.

Maka yang demikian, usaha-usaha konservasi bangunan warisan yang dibuat banyak pihak sebelum ini dan masa sekarang diharap dapat mencetus impak pengalaman berbeza dan ilmu tentang konservasi bangunan atau binaan warisan yang tidak ternilai terutamanya kepada generasi akan datang. Paling penting, intervensi terhadap bangunan bersejarah perlu dikurangkan dan pelaksanaan usaha konservasi yang lebih bermanfaat harus diteruskan.


Ulasan

Catatan Popular