MELAYUNYA NEO-KLASIK @LOKE HALL




Tersergam indah dengan struktur seni bina neo klasik di tengah- tengah kepesatan kota metropolitan, bangunan kolonial ini antara kesan peninggalan dan penjajahan Inggeris yang telah diberi nafas baru selepas satu abad lamanya merentas arus peredaran zaman. Sedar atau tidak, bangunan di atas Lot 10, Jalan Tangsi ini telah berdiri megah sejak 110 tahun dahulu menjadikannya antara bangunan warisan yang perlu dipelihara dan dipulihara.

Justeru, banyak yang boleh dipelajari daripada kesan tinggalan bangunan bersejarah ini, terutamanya aspek nilai perkembangan tamadun dan teknologi pada masa tersebut sehingga mampu menghasilkan struktur seni bina yang mempunyai nilai estetika yang tinggi. Apa yang menarik, seni bina bangunan warisan ini mempunyai pengaruh daripada China, Eropah dan Melayu. 


Selain itu, asimilasi pengaruh keaslian seni bina Melayu masih jelas pada bangunan ini seperti penggunaan tangga kayu dengan ukiran motif flora pada struktur pemegangnya. Begitu juga penggunaan sistem tanggam pada binaan tangga turut mencerminkan nilai budaya dalam seni pertukangan Melayu. Pengaruh seni bina Eropah juga dilihat mendominasi kebanyakan struktur binaan bangunan ini. 

Menurut sejarah, bangunan yang turut dikenali dengan nama Loke Hall ini dibina setelah kepulangan Loke Chow Kit dari lawatan ke beberapa negara Eropah bersama ahli perniagaan ternama waktu itu, Wong Loke Yew. Buktinya dapat dilihat pada bahagian kepala tiang yang berkerawang dan tebar layar (gable end) pada bahagian hujung bumbung fasad hadapan bangunan. Manakala, reka bentuk baluster atau susur tangan pada pagar di sekeliling courtyard dalam bangunan dikatakan dipengaruhi oleh seni bina China dan Eropah. 



Ulasan

Catatan Popular