REKA BENTUK SEKOLAH GAMBAR 100 TAHUN
Salam sejahtera. Dalam perkongsian kali ini, saya ingin mengetengahkan tentang reka bentuk dan seni bina Bangunan Muzium Setem Melaka. Bangunan Muzium Setem Melaka ini boleh dikatakan tampil dengan gayanya yang tersendiri biarpun kelihatan kecil dan seperti tersorok dek kerana diapit dua bangunan besar. Bangunan Muzium Rakyat terletak di sebelah kiri manakala di sebelah kanannya pula adalah bangunan Muzium Dunia Islam. Sungguhpun begitu, ia tetap mengagumkan dengan ciri- ciri seni bina yang boleh dibanggakan.
Pada asalnya, ia merupakan kediaman para pegawai Belanda di Melaka sehingga tamat Perang Dunia II dan selepas itu, bangunan ini terus ditinggalkan. Pada 19 Mac 1954, G.E Wisdom, Pesuruhjaya Residen Melaka telah menjadikan bangunan ini sebagai muzium sebelum dipindahkan ke bangunan Stadhuys pada tahun 1982. Selepas itu, bangunan ini telah digunakan sebagai pejabat kerajaan seperti Yayasan Setem Melaka dan The Melaka Islamic Foundation selama beberapa tahun sebelum diambil alih oleh Unit Penguatkuasa Majlis Perbandaran Melaka pada tahun 1990.
Bangunan ini telah diwartakan pertama kalinya oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti sebagai Monumen Lama mengikut Seksyen 15 Akta Bendapurba 168/1976 pada 12 Mei 1977. 29 tahun kemudiannya, ia telah didaftarkan pula sebagai WARISAN pada oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 berdasarkan Akta 645.
Bangunan tua ini terdiri daripada sebuah unit utama dua tingkat di bahagian hadapan. Terdapat sebuah anjung dengan empat gerbang melengkung dalam gaya simetrikal bertindak sebagai laluan masuk atau disebut juga sebagai elemen porte-cochere. Ia dibina di tengah-tengah fasad bangunan. Bahagian hadapan bangunan ini mempunyai empat gerbang melengkung; dua di bahagian kiri dan selebihnya di bahagian kanan. Dilihat pula pada bahagian atasnya terdapat empat jendela kayu; dua di sebelah kiri dan dua di sebelah kanan. Kekisi berkeluk turut menghiasi rekaan jendela ini dan ia berada dalam keadaan baik.
Rupa keseluruhan bangunan tampil seimbang dengan pembahagian sedemikian. Jelas ini menggambarkan ia direka dengan reka bentuk dan ciri-ciri seni bina Belanda.
Pada bahagian belakang, terdapat struktur binaan lain yang mana jika dilihat secara keseluruhan ia menganjur ke belakang dan membentuk seperti huruf ‘U’. Sebuah courtyard menjadi pemisah antara binaan ini. Bangunan ini dibina menggunakan kombinasi bahan campuran iaitu kemasan lime plaster di tingkat bawah dan kayu pada tingkat atas. Sama seperti semua bangunan pentadbiran Belanda yang lain di Asia Tenggara, bangunan ini turut dicat dengan warna putih.
Ulasan
Catat Ulasan