WARNA-WARNA RUMAH KEDAI JALAN LAKSAMANA




Pemuliharaan deretan bangunan sedia ada yang terletak di Jalan Laksamana kawasan Melaka Tengah, Melaka Bandaraya Bersejarah (Fasa 2) ini adalah satu tindakan penting bagi memperluaskan ilmu tentang kaitan antara sejarah dan seni bina. Seterusnya ini berupaya menjadikannya sebagai sumber inspirasi kepada para arkitek dan juga perancang bandar yang mana harus belajar daripada seni bina lampau, mengambil yang terbaik dan mempelajari daripada kesilapan yang mungkin telah dilakukan oleh pereka terdahulu. 

Pengekalan bangunan bersejarah turut dirasakan memberi banyak faedah pada industri pelancongan kerana bangunan ini mempunyai karakter-karakter unik yang berupaya menarik para pelancong dan pencinta sejarah untuk berkunjung ke Melaka khususnya untuk menghargainya. Seperti semua tahu, Melaka kaya dengan tarikan pelbagai budaya yang boleh dilihat secara langsung pada gaya seni bina bangunan-bangunan lama seperti pengaruh Portugis dan  Belanda. Apabila ini dipulihara dan dipelihara ia layak menjadi dokumen sejarah nyata  bagi memahami sejarah bandar ini (urban history). 

Ia adalah bukti kepada sesuatu era kerana dihasilkan mengikut keperluan teknologi, budaya dan ekonomi pada masa ia dibina. Penyatuan budaya yang pelbagai di Melaka juga telah menyerlahkan identiti seni bina yang unik pada unit-unit rumah-rumah kedai ini. Secara tidak langsung, masyarakat telah didedahkan ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Selain daripada itu, ini turut dapat membantu pihak berkuasa tempatan untuk mengawal pembangunan serta memantau usaha pengekalan bangunan-bangunan lama yang tanpa syak wasangka jelas ia adalah sebahagian daripada kita…milik kita.

Kerja-kerja pemuliharaan cat yang dijalankan pada bangunan ini dilihat sangat penting bagi merekod lapisan dan warna cat bangunan yang pernah digunakan sebelum ini. Untuk pengetahuan, tindakan ini adalah merupakan satu keperluan dokumentasi amat penting bagi setiap bangunan bersejarah. Didapati antara warna cat-cat yang pernah digunakan adalah seperti merah, krim, putih, biru nila, kuning langsat dan beberapa lain. Tambahan pula, penggunaan warna dan cat yang digalakkan dalam kerja-kerja pemuliharaan mestilah mengikut warna asal bangunan. 

Selain daripada itu, objektif kerja-kerja pemuliharaan cat yang dilakukan juga bertujuan untuk mendedahkan permukaan elemen asal bangunan agar segala kecacatan yang terdapat padanya dapat dikenal pasti dan dipulihara terlebih dahulu. Ini juga adalah untuk mengelakkan lapisan cat lama bangunan ini terkopek dan tertanggal selepas cat lapisan baharu disapu ke atasnya. Tidak ketinggalan bagi mendapatkan kesan permukaan kemasan bangunan yang cantik dan rata. 

Kerja-kerja bagi mendapatkan skim warna cat yang telah digunakan pada bangunan ini dimulakan dengan cara menggosok atau menggores pada permukaan bangunan yang dikehendaki menggunakan pengikis atau kertas pasir. Penggunaan alat pengikis (scrapper) atau cecair peluntur (paint remover) turut diguna pakai untuk membantu menanggalkan permukaan lapisan cat sekiranya lapisan warna cat yang digunakan sebelum ini sukar dikenal pasti. Tugas-tugas ini akan disudahi dengan penggunaan kertas pasir dan span basah bagi mendapatkan hasil kajian lebih sempurna. Proses ini dilakukan dengan penuh berhati-hati supaya memperoleh dapatan jelas dan tepat sebagaimana dikehendaki.

Ulasan

Catatan Popular