DARI EMPIRE KE PENINSULAR
Sejarah menyaksikan bagaimana bangunan warisan di atas Lot 10 (Rumah Tangsi) ini telah melalui beberapa fasa pemilikan. Ternyata lokasi yang strategik dan keunikan reka bentuk bangunannya menjadi tarikan utama. Pada asalnya bangunan ini adalah sebuah rumah agam yang dimiliki oleh Orang Kaya Kuala Lumpur, Loke Chow Kit. Pada awalnya ia dikenali dengan nama Barrack Road di kawasan perumahan mewah Inggeris pada zaman penjajahan British (European Quater).
Hasil daripada catatan sejarah dan bukti yang diperolehi daripada media cetak arkib negara, bangunan di atas Lot 10 pada asalnya pernah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah hotel eksklusif kelas pertama (1st Class). Selain daripada itu, jumpaan tulisan “Empire Hotel” pada bahagian fasad bangunan (bahagian hadapan) ketika kerja-kerja mengikis cat dilakukan mengesahkan bukti sejarah tersebut.
Di antara pertubuhan yang telah dipertanggungjawab memelihara dan memulihara bangunan warisan ini ialah Badan Warisan Malaysia (BWM) dan Persatuan Sahabat-Sahabat Malaysia sehinggalah ia diambil alih oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 2005. Selepas 16 tahun negara mencapai kemerdekaan, bangunan ini bertukar tangan. Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) telah melakukan kerja membaik pulih bangunan seluas 1,588 meter persegi ini dengan membina sebuah pusat sumber berkaitan seni bina yang turut dibuka kepada orang awam dan menjadi pusat rujukan kepada 1,600 arkitek berdaftar.
Proses konservasi bangunan berkeluasan kira-kira 5000 kaki persegi ini memakan masa hampir dua tahun dan telah diwartakan sebagai Warisan Negara pada tahun 2012.
Sedar atau tidak, bangunan di atas Lot 10, Jalan Tangsi ini telah berdiri megah sejak 110 tahun dahulu menjadikannya antara bangunan warisan yang perlu dipelihara dan dipulihara. Justeru, banyak yang boleh dipelajari daripada kesan tinggalan bangunan bersejarah ini, terutamanya aspek nilai perkembangan tamadun dan teknologi pada masa tersebut sehingga mampu menghasilkan struktur seni bina yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.
Ulasan
Catat Ulasan