DEFINISI KONSERVASI


Jika diteliti definisi konservasi, banyak yang boleh diperkatakan dan difahami. Kebanyakannya mencakupi aspek memelihara, memulihara, mengekal dan menyelenggara. Konservasi bukanlah suatu aspek yang mudah dan boleh dipandang ringan apatah lagi jika ia melibatkan bangunan bersejarah atau bangunan warisan yang memiliki nilainya yang tersendiri; warisan yang dahulunya dibiarkan, ditinggalkan mahupun ‘disakiti’.

Sejarah Malaysia membuktikan bahawa permulaan usaha pemuliharaan di negara kita agak lambat dan jauh ketinggalan. Namun, kita bernasib baik kerana masih wujud golongan yang prihatin, sensitif dan memiliki rasa tanggungjawab yang amat tinggi terhadap khazanah tinggalan sejarah negara. Ini kerana negara- negara lain di dunia sudah lama berjuang mempertahankan apa yang mereka miliki dalam memelihara identiti dan nilai jati diri serta budaya asal.

Seringkali, masyarakat tidak memahami bagaimana usaha konservasi ini diterjemahkan. Permasalahan fizikal bangunan bukan perkara pokok dalam memperbaiki kelemahan dan kekurangan lampau. Tetapi ia perlu diperhalusi dengan lebih mendalam sehingga ke lapisan akhir struktur dalaman bangunan atau lebih tepat, mencari keaslian bangunan warisan. Lapisan inilah yang perlu dilindungi dan dikekalkan dan ternyata ia bukanlah semudah yang dilihat.

Percaya atau tidak, program konservasi bangunan di Ightham Mote di Kent, England telah melalui usia pembinaan hampir 700 tahun dan menelan belanja hampir 10 juta pound yang bukan sahaja dibiayai oleh badan warisan tempatan dan antarabangsa malah daripada dana sumbangan awam. Hasilnya, bangunan ini kini menjadi antara pusat pelancongan dan konservasi bangunan yang terkenal di United Kingdom. Usah dilupa, kesedaran tentang kepentingan sejarah bagi setiap generasi baru menerusi pendidikan perlu terus dipupuk ke arah menyambung usaha konservasi supaya tidak hilang ditelan arus kemodenan.

Diharapkan, akan lahir golongan profesional yang tidak berkepentingan untuk bergabung tenaga dalam meneruskan usaha konservasi tanpa prejudis; mencipta idea reka bentuk yang lebih sensitif. Mungkin satu kombinasi padu sosial, sejarah, falsafah, teknikal dan proses perundangan tertentu mampu dihasilkan dalam usaha merealisasikan impian ini. 

Tanpa sejarah, tiadalah generasi yang bermaruah, kaya ilmu serta teladan yang boleh dipelajari. Kepentingan konservasi bangunan warisan ini tidak lain adalah bagi kesinambungan nilai kepada generasi seterusnya sebagai bukti nyata dalam bentuk struktur fizikal yang boleh dilihat, disentuh dan diekplorasi sendiri.

Pengamal konservasi perlu mengenal pasti signifikasi budaya dengan memahami struktur teknikal bangunan warisan, bahan binaan yang relevan dan impak kepada persekitaran. Nilai kecintaan inilah yang membantu memanjangkan usia warisan anak bangsa supaya terus dinikmati dan diwarisi selama-lamanya. 

Ulasan

Catatan Popular