DINDING BINAAN 136 TAHUN

Binaan menara jam ini terletak di Jalan Gereja, Banda Hilir, Bandaraya Melaka Bersejarah. Ia dibina bersebelahan dengan Bangunan Stadhuys yang merupakan bangunan Belanda tertua di Asia Tenggara. Turut berada berhampiran adalah Air Pancut Queen Victoria, Gereja Christ dan jambatan bersejarah Tan Kim Seng.

Lebih spesifik ianya berada beberapa meter sahaja dari bulatan yang menyatukan Jalan Laksamana, Jalan Hang Jebat dan Jalan Tun Khalil Yaacob. Kedudukannya sangat strategik kerana ianya dapat dilihat daripada segenap sudut seolah-olah berada di tengah-tengah laluan trafik dan juga tumpuan para pelancong. Menara Jam Tan Beng Swee adalah kira-kira 150km jauhnya dari Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur. 

Keseluruhan binaan menara jam ini diperbuat daripada batu bata berukuran 9 inci x 4 inci setiap satu. Ia disempurnakan dengan sambungan mortar dan plaster batu kapur. Kayu turut digunakan pada bahagian tertentu. Memandangkan binaan ini sudah pun mencecah usia 136 tahun maka keputusan untuk memulihara dan membaik pulih struktur permukaan dindingnya dilihat sesuatu yang sangat perlu. 




Oleh yang demikian, pasukan konservasi yang diketuai oleh Hj. Shaari Mat Sa’od telah pun terlebih dahulu memeriksa struktur dinding pada bahagian dalam menara dengan kaedah mengetuk permukaan dinding terbabit. Ini adalah penting bagi memastikan tiada sebarang ruang kosong di sebalik permukaan itu agar tugas-tugas mengikis cat lama dan sapuan cat baru dapat dijalankan dengan sempurna.


Kerja-kerja baik pulih serta pengukuhan permukaan dinding dalaman (dan juga luaran) yang terjejas dan retak dilaksanakan dengan kaedah naturalise injection menggunakan produk jenama Graphenstone. Mortar Natureglue disumbat pada kedalaman antara 25mm sehingga 40mm. Campuran kapur dan air turut ditampal pada permukaan yang bermasalah bagi menutup rekahan-rekahan kecil yang berlaku. 

Ulasan

Catatan Popular