LEGASI RUMAH PEGAWAI BELANDA


Kepada mereka yang tertanya-tanya tentang projek konservasi Bangunan Muzium Setem Melaka, di sini saya kongsikan lagi sedikit maklumat.  Cadangan Memulihara, Membaik Pulih Dan Restorasi Struktur Bangunan Muzium Setem Melaka ini sebenarnya telah dimulakan secara rasmi pada 11 Januari 2021 dan siap keseluruhannya pada 30 Disember 2022. 
Projek ini adalah bertepatan dengan tujuan pengekalan status Melaka sebagai salah sebuah bandaraya bersejarah di Malaysia. 

Pada asalnya, bangunan ini merupakan kediaman para pegawai Belanda di Melaka sehingga tamat Perang Dunia II dan selepas itu, bangunan ini telah terus ditinggalkan. 

Pada tahun 2004, bangunan ini telah dibaik pulih oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti sebelum diserahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka. Pada tahun 2007, Kerajaan Negeri Melaka dan Pos Malaysia Berhad telah bekerjasama membuka muzium setem di bangunan ini. Antara yang dipamerkan adalah setem- setem terawal sehinggalah yang terkini dan tidak ketinggalan koleksi-koleksi setem luar negara.

Terdahulu, pihak JKR Negeri Melaka telah memajukan dokumen permohonan kepada Bahagian Kepakaran Konservasi, Cawangan Arkitek untuk menjalankan pemeriksaan dan pelaksanaan Laporan Dilapidasi bagi penetapan skop kerja pemuliharaan terhadap bangunan Muzium Setem Melaka. Lanjutan daripada itu, JKR Melaka telah mengadakan Bengkel Konservasi Muzium Setem Melaka bersama pasukan projek dari JKR Melaka sendiri dan beberapa pihak lain seperti Jabatan Warisan Negara (JWN) pada 9 hingga 12 Mac 2020. 

Memilih bangunan ini untuk menjalani proses pulihara, baik pulih dan restorasi dilihat sebagai satu keputusan bijak. Ini adalah bertepatan dengan salah satu daripada enam matlamat baharu kerajaan negeri yang telah digariskan iaitu memelihara dan memulihara warisan budaya. Ini adalah sejajar dengan pengisytiharan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008. 

Untuk makluman, kerja-kerja baik pulih yang dilaksanakan terhadap bangunan warisan ini dibuat berpandukan pada prinsip, konsep, falsafah dan etika kerja-kerja pemuliharaan standard. Kerja-kerja pembaikan bangunan, pengenalpastian dan perekodan menyeluruh terhadap kecacatan bangunan dilihat amat penting dalam menentukan kaedah dan teknik pemuliharaan yang sesuai digunakan. Bagi projek ini, ia telah dilaksanakan dengan sebaik mungkin oleh setiap pihak yang terbabit. 

Dalam amalan pemuliharaan sesebuah bangunan, adalah penting untuk memahami keadaan kecacatan, menentukan punca kerosakan bangunan dan sebagainya. Kemudian, ini akan dilanjutkan pula pada kajian kecacatan bangunan yang mana akan mengenal pasti tahap kerosakan bangunan. Seterusnya, kerja-kerja konservasi yang tepat dapat dibuat dengan sempurna.     

Ulasan

Catatan Popular