TUMPUAN PELANCONG SEPANJANG MASA
Bangunan ini berada di sebelah kanan sepanjang Jalan Laksamana iaitu dengan anggaran kira-kira 300 meter daripada permulaan Jalan Laksamana sebaik melewati kawasan tempat letak kereta. Ia juga dibina sejajar dengan Sungai Melaka iaitu di antara hujung lengkuk sungai berhampiran Jalan Kampung Pantai dan sebelum Jambatan Tan Kim Seng. Melaka River Walk terletak di seberang sungai dan kawasan belakang bangunan ini berada setentang dengannya.
Pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan dan tapak warisan ini adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Warisan Negara (JWN). Pembangunan dan perkembangan pemuliharaan bangunan warisan dilihat begitu penting kepada negara apabila Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) diluluskan di Parlimen. Akta ini telah diwartakan pada 31 Disember 2005 dan berkuat kuasa pada tarikh 1 Mac 2006.
Akta Warisan Kebangsaan 2005 mengadakan peruntukan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan, warisan semula jadi, warisan kebudayaan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan bawah air dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Konsep pemuliharaan warisan yang diketengahkan adalah selaras dengan amalan standard global iaitu “Keaslian Dalam Pemuliharaan Warisan”. Konsep ini merangkumi empat aspek iaitu keaslian material, reka bentuk, hasil kerja dan juga tata letak. Kesemua ini diperkukuhkan lagi dengan pendekatan-pendekatan bersesuaian seperti pemulihan dan pemuliharaan.
Ulasan
Catat Ulasan